Kumpulan ini pada asalnya terdiri daripada 4 orang pelajar lelaki yang masing-masing masih belajar di UTM Skudai. Sejarah penubuhan kumpulan ini bermula apabila berlangsungnya Program Gegar U sempena 50 tahun kemerdekaan Malaysia. Program tersebut dijalankan di setiap IPT di seluruh Malaysia. Salah satu subprogram yang dianjurkan termasuklah Battle of the Band Unity in Music dengan kerjasama ICOM (music college).
Sebagai percubaan, kami berempat iaitu Lutfi, Taufiq, Nasrul & Fath telah turut serta dalam pertandingan peringkat universiti. Kami mencuba untuk membawa kelainan iaitu melalui nyanyian lagu “Ikhlas tapi jauh” secara vocal tanpa live band. Alhamdulillah kami berjaya menjadi antara wakil UTM ke peringkat Final di Penang International Sports Arena (PISA). Kami meneruskan usaha kami hingga ke final, bersaing dengan wakil-wakil setiap IPT di seluruh Malaysia, namun Allah jua yang memberi rezeki, Voice of Men hanya mampu menjadi top 5 sahaja. Alhamdulillah.

Kali ini Voice of Men meneruskan perjuangan pula dengan menyertai Ujibakat Akademi Nasyid TV9 tetapi hanya bertiga tanpa Nasrul memandangkan komitmennya yang penting dalam pelajarannya. Namun, kami sempat menjemput Arif untuk turut sama dalam ujibakat ini. Alhamdulillah, masih ada rezeki untuk kami. Kump Voice of Men berjaya mewakili johor dalam Akademi Nasyid bersama-sama dengan Bro Azhan Atan yang mempunyai vocal yang sangat mantap. Dalam masa yang sama, kami telah menerima ahli baru Voice of Men iaitu Hafiz berikutan saranan daripada juri pada masa itu (Bro Isman, Bro Dakmie & Bro Azman). Insyaallah kami berlima akan cuba yang terbaik. Sudah pasti segala yang berlaku ada hikmahnya. Masih banyak yang ingin kami pelajari. Kami berharap agar perjuangan kami kali ini tidak sia-sia, malah dapat memberi sedikit sumbangan kepada masyarakat Islam khususnya. Doakan Voice of Men berjaya !
